Kerajaan akan menubuhkan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia ini yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia semasa pembentangan Bajet 2010 pada Oktober akan mula dilaksanakan bermula 3 Januari 2010.Justeru itu kebimbangan golongan yang bekerja sendiri seperti petani, nelayan, pemandu teksi, penjaja dan pemilik perniagaan terhadap ketidakcukupan simpanan semasa bersara bakal diatasi dengan pengenalan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia ini terbuka kepada individu bekerja sendiri termasuk juga penjaja, peniaga pasar malam, ejen hartanah, golongan freelance seperti deejay, instruktur kesihatan dan kecergasan (fitness instructors), penyanyi dan pelakon, serta pemilik perniagaan online.
Ahli KWSP sedia ada yang telah bekerja sendiri turut layak memilih untuk menyertai skim baru ini.
Skim Persaraan 1Malaysia ini adalah berlandaskan kepada tanggungjawab sosial, dengan mengambil berat terhadap kebajikan semua peringkat rakyat yang bekerja sendiri iaitu kategori individu yang tidak mempunyai skim simpanan persaraan secara formal.Selain itu skim ini bertujuan untuk memberikan perlindungan kewangan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap apabila mereka mencapai usia tua.
Menurut Tan Sri Azlan Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP pihak kerajaan sentiasa prihatin terhadap ketidakcukupan simpanan persaraan yang menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan.
Tidak seperti skim simpanan KWSP yang biasa, amaun yang dicarumkan ke dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia adalah bergantung kepada tahap kemampuan pencarum sepenuhnya.
Menurutnya skim Simpanan Persaraan 1Malaysia ini menawarkan golongan terpilih ini fleksibiliti dalam menentukan berapakah jumlah yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan mereka.
Melalui skim baru ini jumlah caruman minimum oleh ahli adalah sebanyak RM50 sehingga RM5,000 sebulan.Caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membayar caruman setiap bulan, ia bergantung kepada tahap kemampuan pencarum itu sendiri.
Namun begitu ahli digalakkan untuk mencarum sejumlah wang secara berterusan tidak kira berapa jumlahnya, ke dalam skim persaraan ini kerana disiplin amat perlu apabila menyimpan untuk persaraan.
Simpanan di bawah skim ini akan menerima dividen tahunan mengikut kadar yang diumumkan KWSP sebagai tambahan kepada sumbangan kerajaan sebanyak 5 peratus dan tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun, selama 5 tahun bermula dari tahun 2010 hingga 2014.
Untuk menyertai skim ini amat mudah.Kepada mereka yang berminat untuk menyertai skim ini mereka perlu mengisi Borang KWSP 16G(1M) yang boleh diperoleh di Cawangan KWSP seluruh negara.Mereka juga boleh memuat-turun dari laman KWSP ini mulai 3 Januari 2010. Borang ini kemudiannya perlu dikembalikan ke cawangan KWSP berdekatan ataupun melalui serahan mel.
Kepada mereka yang berminat tetapi masih belum menjadi ahli KWSP mereka perlu berdaftar sebagai ahli KWSP terlebih dahulu dengan mengisi Borang KWSP 3 dan mengemukakannya kepada KWSP sebelum memohon menyertai skim ini.
Simpanan boleh didepositkan secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(2) di Kaunter Bayaran KWSP seluruh negara.
Simpanan di bawah skim ini juga boleh dikeluarkan tertakluk kepada syarat dan prosedur semasa pengeluaran KWSP.
















