Selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan konsep Islam hadari pada zaman beliau menjadi perdana menteri kini kerajaan dibawah era kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan konsep 1Malaysia pula.Agenda memperkenalkan idea baru oleh setiap pemimpin adalah perkara lumrah dan bukanlah sesuatu yang pelik.Ini adalah kerana setiap pemimpin baru mahu:
-Melakukan penambahbaikkan di dalam sistem sedia ada
-Memperkenalkan idea baru yang lebih baik dan berdaya saing
-Menonjolkan gaya kepimpinan tersendiri
Secara ringkasnya gagasan 1Malaysia ini menjurus kepada mengutamakan kepentingan rakyat selaras dengan slogannya “Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”Konsep ini jika dilihat adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat selain ia selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
Antara tujuan diwujudkan konsep 1Malaysia ialah untuk memperbaiki dan mengeratkan hubungan antara rakyat berbilang kaum di negara ini bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan sesama mereka.
Salah satu cara menyuburkan perpaduan dikalangan rakyat adalah dengan mewujudkan perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. Kemunculan gagasan 1Malaysia disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat dengan harapan ia dapat merapatkan hubungan sesama kaum.
Namun begitu konsep 1Malaysia bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif iaitu dasar untuk menolong kaum Bumiputera tapi biarlah dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
Konsep 1Malaysia tidak akan berjaya
Untuk merealisasikan konsep ini bukan satu perkara yang mudah kerana ia tidak akan berjaya dengan sekelip mata.Ia mengambil masa yang lama untuk melihat hasilnya.Ia perlu dilakukan secara sedikit demi sedikit, dilakukan secara berterusan dan yang paling penting adalah ia dilakukan dalam jangka masa yang panjang.
Secara ringkasnya konsep ini tidak akan berjaya dan hanya tinggal slogan jika perkara asas kepada perpaduan tidak dilaksanakan.Buatlah berbagai 1001 program,aktiviti dan sebagainya jika perkara paling asas tidak diambil peduli konsep 1Malaysia ini akan menjadi sia-sia.
Perkara paling asas dalam mewujudkan hubungan baik antara kaum ialah membubarkan sekolah jenis kebangsaan cina dan india dan hanya wujudkan satu jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan yang mewakili semua kaum seperti zaman selepas merdeka suatu ketika dahulu.Walaupun bunyinya agak keras dan kasar namun hanya itu sahaja ubat paling mujarab untuk mengatasi masalah perpaduan dinegara ini.
Percayakah anda jika saya katakan masih ada rakyat malaysia berbangsa cina yang tidak boleh berbahasa malaysia pada masa ini.Bukan ingin mengutuk tapi kita kena berpegang pada realiti masalah pada hari ini.Tepuk dada tanya selera.Jika diamati dengan penuh kesedaran sebenarnya perkara ini sedikit demi sedikit sedang menjadi barah kepada perpaduan di negara ini dan ia akan bertambah teruk dalam 10 atau 20 tahun akan datang.Marilah kita membuat sesuatu yang ‘backward’ 10 atau 20 tahun dari masa hadapan.
Masalah perpaduan pada hari ini adalah disebabkan wujudnya sekolah jenis kebangsaan mungkin 20 atau 30 tahun lepas dan ia mula menampakkan masalah pada hari ini.Ini kerana orang cina akan menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan cina,orang india juga akan menghantarkan anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan india dan orang melayu di sekolah kebangsaan.Dimana akan wujudnya perpaduan jika dari kecil kita sendiri sudah mengasingkan mereka mengikut kaum melalui sekolah.Sekali lagi tepuk dada tanya selera.
Bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.Kalau rebung dan jadi buluh tersangat sukar untuk dilentur.Begitulah yang boleh diistilahkan dengan manusia.Berfikir itu pelita hati.Berfikirlah.Harap masalah yang sedang berakar umbi ini akan dipandang serius oleh pihak yang berkenaan.
















